PROGRAM DAKIAN KE PUNCAK KEPULIHAN | Pada 2 & 3 mac 2019 yang lepas 6 orang pegawai dan kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah Perak Tengah, Jawatankuasa Pemulihan Dadah Perak Tengah dan 10 orang Klien Pengawasan Daerah Perak Tengah bersama pegawai dan kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah Kerian, Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah Kerian dan 62 orang Klien Pengawasan Daerah Kerian telah menjayakan program "Dakian Ke Puncak Kepulihan" yang diisi dengan Program Kelompok Sokongan Sosial (KSS) dan juga pendakian di Gunung Semanggol,Kerian Perak.

Memanfaatkan suasana ibadah dan riadah untuk memulihkan kembali "biopsikososialspiritual" yang rosak angkara dadah. Perjumpaan tidak sama sekali mahu menyinggung bahkan semua yang menyertai dibawa merasai, didampingi dan dihargai semasa perkongsian.
Sensitiviti diolah melalui pengantaraan berhemah agar klien dan komuniti tidak menghadapi konflik untuk berdamping.

Semoga pendakian ini membuka mata hati klien pengawasan untuk kembali semula kepada fitrah diri. Kebesaran Allah terlihat nyata dengan alam ciptaan-Nya. Diharapkan agar klien akan terus tenang, sabar dan tabah ketika diuji oleh ejekan dan cemuhan sesiapa pun.

Memang tidak mudah mencapai kepulihan tetapi hakikatnya kita sedari bahawa "anugerah" tidak akan datang dengan sendirinya, pasti kita akan menempuhi penat jerih dan perjuangan yang berliku. Semoga jatuh bangun dalam kepulihan diteruskan hingga berjaya meninggalkan kebergantungan.
Terima kasih kepada semua yang memberi kerjasama secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini.

0 Comments