Sejarah Hari Antidadah Pertama Di Malaysia | Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Baru-baru ini telah diadakan Program Walkabout sempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan. Program yang dijalankan serentak di seluruh negara ini merupakan sambutan Hari Antidadah yang ke- 39.
Setiap tahun Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan (HADK) akan disambut pada tarikh 19 Februari. Hari Antidadah pertama telah dilancarkan pada tahun 1983.
Kempen Antidadah Peringkat Kebangsaan ini dilancarkan oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad bertempat di Angkasapuri, Kuala Lumpur.
HADK ini merupakan kempen yang bertujuan untuk menyedarkan rakyat tentang bahayanya penyalahgunaan dadah. Kempen ini masih dijalankan sehingga kini. Pada majlis tersebut Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan akan menubuhkan satu pasukan Petugas Antidadah di Jabatan Perdana Menteri.
Petugas ini bertanggungjawab untuk menyelaras semua kegiatan memerangi dadah diseluruh negara. Kerajaan ketika itu juga terlaksanalah konsep baru dalam pemulihan penagih dadah yang diberi nama Pusat Serenti. Berikutan dengan itu, Agensi Antidadah Kebangsaan (dahulu dikenali sebagai Agensi Dadah Kebangsaan) telah memulakan Kempen Antidadah Kebangsaan sejak 1983 dan Antarabangsa sejak 1988 pada setiap tahun.
Mengikut konsep ini kakitangan daripada beberapa agensi yang berkaitan dengan rawatan dan pemulihan penagih dadah akan dipusatkan di satu tempat. Agensi-agensi berkenaan termasuklah Kementerian Kebajikan Am, Kementerian Kesihatan, tentera, polis, PEMADAM, Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.
Sejajar dengan perkembangan peranannya yang menyediakan pelbagai program berkesan yang merangkumi semua aspek kehidupan, mulai 22 Januari 2008, Pusat Serenti di seluruh negara ditukar namanya kepada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen).
PUSPEN diseluruh negara ini juga mempunyai fungsi dan kategori yang berlainan. Anda perlu tahu senarai puspen di Malaysia dan apakah perbezaan kategori yang dimaksudkan. Maklumat ini penting untuk menjadi rujukan pihak yang memerlukan.
Untuk khidmat nasihat dan aduan sekitar negeri Perak anda juga boleh terus ke AADK Daerah berdekatan anda.

0 Comments